Wartawan muflis didakwa esok, mohon penangguhan lantik peguam
TEMERLOH – Bekas wartawan dan penulis, Khaidir Ahmad yang mengakui berstatus muflis dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada esok atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Khaidir berkata, pertuduhan itu berkaitan hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya berhubung isu dakwaan pembelian 52 juta liter diesel dari Malaysia oleh Filipina pada April lalu.
Menurutnya, beliau akan hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi untuk mendengar pertuduhan dan berhasrat mengaku tidak bersalah serta memohon supaya kes berkenaan dibicarakan.
“Saya akan membuat pengakuan tidak bersalah dan akan meminta dibicarakan atas tuduhan pendakwaan itu nanti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mendakwa surat saman atau waran pendakwaan hanya diserahkan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di kediamannya pada petang semalam.
Khaidir berkata, beliau akan hadir ke mahkamah bersama anaknya yang akan bertindak sebagai penjamin tanpa diiringi peguam.
Menurutnya, beliau akan memohon ihsan mahkamah untuk menangguhkan prosiding bagi membolehkannya mendapatkan khidmat peguam dengan kos yang minimum.
“Saya berstatus muflis, tidak mempunyai pekerjaan tetap serta menanggung empat anak yang masih belajar dan seorang isteri yang lumpuh akibat serangan strok hampir setahun lalu,” katanya lagi.
Khaidir yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai wartawan dan penulis berkata, beliau sentiasa sedar akan risiko yang perlu dihadapi dalam memperjuangkan isu yang disifatkannya sebagai kepentingan rakyat.
Pada masa sama, beliau berharap segala urusan prosiding dan perbicaraan kes berkenaan dipermudahkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








