Himpunan Huffaz Pahang 2026 cipta sejarah, himpunkan 5,000 huffaz
KUANTAN – Pahang melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 5,000 huffaz dari seluruh negeri menerusi penganjuran sulung Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Kompleks Yayasan Pahang, di sini baru-baru ini.
Himpunan terbesar seumpamanya di negeri itu menjadi manifestasi komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan institusi tahfiz serta memperkasa pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan negeri.
Mengulas mengenai ekosistem pendidikan tahfiz di negeri ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata, Pahang membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh dibangunkan bukan secara terpisah, tetapi sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.
“Bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath, dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian institusi tahfiz di bawah kelolaan kerajaan negeri yang terus menunjukkan prestasi membanggakan dalam aspek akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.
“Hasil daripada perancangan dan pelaburan yang tersusun ini, Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang telah membuktikan kecemerlangan apabila keputusan SPM 2025 meletakkan institusi tahfiz milik Kerajaan Negeri Pahang ini dalam kelompok empat institusi pendidikan terbaik di Malaysia. Ini membuktikan bahawa pendidikan tahfiz dan kecemerlangan akademik boleh bergerak seiring,” katanya.
Dalam majlis tersebut, turut berlangsung sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai langkah memperkukuh pembangunan pendidikan tahfiz serta memperluas peluang kemahiran kepada golongan huffaz.
Sepanjang penganjuran hari pertama, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi ceramah, solat berjemaah dan aktiviti kerohanian yang menekankan pembentukan sahsiah serta jati diri sebagai generasi al-Quran.
Program itu diteruskan melalui Seminar Huffaz Negeri Pahang 2026 yang akan menampilkan forum-forum ilmiah berkaitan pendidikan tahfiz, termasuk perbincangan mengenai laluan huffaz dalam bidang akademik, TVET dan profesional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








