PRN perlu kekal pertandingan antara parti politik – Anwar
TANGKAK – Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu kekal sebagai pertandingan antara parti politik tanpa melibatkan atau mengaitkan mana-mana institusi lain, termasuk institusi raja-raja Melayu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, setiap pihak perlu memahami batas peranan masing-masing serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah faham politik, lapor SH Online.
“Saya nak nasihatkan biar PRN ini PRN antara parti. Jangan kaitkan (dengan pihak lain).
“Tak wajar dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Ada batasannya. Kalau ada masalah atau tidak setuju, runding dengan baik dan jelaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor di Bukit Gambir, di sini malam tadi.
Sementara itu, ketika mengumumkan senarai calon, Anwar berkata, mereka yang ditampilkan merupakan anak Johor yang memahami isu setempat dan dipilih berdasarkan kemampuan serta rekod perkhidmatan.
Antara calon yang menjadi tumpuan ialah bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad.
Maszlee akan bertanding di kerusi Puteri Wangsa, manakala Onn dinamakan sebagai calon di Senggarang manakala Faezuddin akan bertanding di Kempas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








