KPT perkukuh kerjasama universiti-industri, fokus penyelidikan berimpak tinggi – Zambry
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus mempergiat usaha memperkukuh hubungan antara universiti awam dan pihak industri bagi meningkatkan kadar pengkomersialan hasil penyelidikan negara yang masih menjadi antara cabaran utama dalam ekosistem inovasi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan kini memberi penekanan kepada penyelidikan berasaskan impak bagi memastikan setiap hasil kajian bukan sahaja menghasilkan penerbitan akademik, malah mampu diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan manfaat langsung kepada industri serta masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan tersebut merupakan perubahan daripada kaedah terdahulu yang lebih menumpukan kepada penerbitan hasil penyelidikan semata-mata.
“Namun kini, kita memberi tumpuan kepada penyelidikan berasaskan impak, iaitu bagaimana output penyelidikan dapat dimanfaatkan secara langsung.
“Pendekatan inilah yang telah diubah termasuk dari segi mewujudkan ekosistem yang lebih baik dalam hubungan antara industri dan universiti,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung strategi kementerian dalam memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk aspek pembiayaan, pemindahan teknologi kepada industri dan pencapaian pengkomersialan inovasi dalam tempoh tiga tahun lalu.
Zambry berkata, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, KPT melaksanakan pelan strategik yang memberi fokus kepada penyelidikan yang mampu menyelesaikan cabaran industri dan masyarakat, selain mengurangkan kebergantungan kepada output akademik semata-mata.
“Semua IPTA khususnya lima universiti penyelidikan terus diperkasakan untuk menerajui penyelidikan bertaraf global dalam bidang kritikal seperti keterjaminan makanan, teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan termaju.
“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila lebih 200 produk penyelidikan universiti awam berjaya dikomersialkan, manakala 286 teknologi dan pengetahuan telah dilesenkan kepada pihak industri sepanjang tempoh 2022 hingga 2024,” katanya lagi.
Beliau berkata, keberkesanan strategi yang dilaksanakan termasuk aspek pembiayaan penyelidikan dan inovasi di setiap universiti awam turut dinilai menerusi Pentaksiran Penyelidikan Malaysia.
Tambah beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program Makmal Malaysia untuk Kerjasama Akademia-Perniagaan (MyLAB), Program Geran Padanan Industri serta Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN).
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan, malah memastikan hasil penyelidikan memenuhi keperluan pasaran dan industri,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Zambry memaklumkan KPT akan menganjurkan Sidang Kemuncak Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan Universiti pada September depan bagi menghubungkan penyelidik, industri dan pelabur.
Menurutnya, platform itu dijangka membantu menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang berpotensi untuk dilaburkan serta memacu inovasi di peringkat lebih tinggi.
“Langkah ini sekali gus akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi dan inovasi di rantau Asia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








