PN tidak tanding kerusi DUN Jepak, tumpu PRK Kemaman – Hamzah
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak.
Setiusaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN sebaliknya akan memberi tumpuan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada 2 Disember nanti.
“Adalah dimaklumkan bahawa Majlis Tertinggi (MT) PN memutuskan bahawa Perikatan Nasional tidak akan meletakkan calon untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak.
“Perikatan Nasional akan memberikan tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan pada 2 Disember 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, komponen-komponen parti dalam PN juga sedang sibuk menguruskan Mesyuarat Agung Tahunan Parti di peringkat cawangan, bahagian dan nasional.