JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar tingkatan dua maut digilis lori tangki di Alor Gajah

ALOR GAJAH – Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Jalan Sungai Siput, Lubok China, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.48 petang itu, mangsa, Muhammad Muiszudin Mohamad Yusof, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sungai Siput Batu Alang menuju ke Lubok China.

Menurut beliau, setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang kanan sebuah Perodua Viva yang berada di hadapannya.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum digilis sebuah lori tangki yang sedang bergerak dari arah Lubok China menuju ke Simpang Ampat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Perodua Viva berusia 32 tahun dan pemandu lori tangki berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Katanya, ketiga-tiga kenderaan yang terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Rembia.

“Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dipercayai merakam kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan detik kemalangan berkenaan tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button