WARISAN tidak terjejas walaupun ada keluar parti – Shafie
KOTA KINABALU – Tindakan beberapa individu meninggalkan Parti Warisan (WARISAN) baru-baru ini disifatkan sebagai perkara biasa dalam landskap politik dan tidak menjejaskan kekuatan parti itu.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, setiap parti politik akan melalui pelbagai fasa termasuk perubahan keahlian dalam kalangan pemimpin dan ahli.
Menurut beliau, mereka yang benar-benar ikhlas dan komited terhadap perjuangan parti akan terus kekal, manakala terdapat juga pihak yang memilih untuk keluar kerana tidak dipilih sebagai calon atau mempunyai kepentingan peribadi.
“Dalam politik, sesebuah parti akan melalui pelbagai fasa. Mereka yang ikhlas dan komited akan terus kekal, manakala yang kecewa kerana tidak dipilih atau kehendak peribadi tidak dipenuhi biasanya memilih haluan berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, WARISAN pernah berdepan situasi sama sebelum ini termasuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 apabila beberapa wakil rakyat yang menang atas tiket parti itu bertindak meninggalkan parti.
“Walaupun berdepan keadaan tersebut, WARISAN tetap kekal kukuh dan terus memperkukuh perjuangan parti,” katanya lagi.
Beliau berkata, individu yang meninggalkan parti baru-baru ini bukan dalam kalangan wakil rakyat, sebaliknya bekas ketua bahagian serta bekas pemegang jawatan parti.
“Itu adalah hak mereka dalam sistem demokrasi dan saya mendoakan yang terbaik untuk mereka,” katanya lagi.
Shafie berkata, kekuatan WARISAN tidak bergantung kepada mana-mana individu, sebaliknya disokong oleh ahli akar umbi, sukarelawan serta rakyat Sabah yang masih mempercayai perjuangan parti.
Beliau turut menyifatkan tindakan keluar parti sebagai proses biasa dalam politik yang akhirnya menguatkan organisasi apabila hanya mereka yang benar-benar komited terus kekal.
“Mereka yang melihat politik sebagai apa yang boleh diperoleh akan pergi, manakala yang kekal memahami bahawa politik adalah tentang apa yang boleh disumbangkan kepada Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, dakwaan bahawa WARISAN semakin lemah merupakan naratif berulang yang telah lama dimainkan pihak tertentu.
“Perjuangan WARISAN tidak dibina atas jawatan atau individu, sebaliknya berteraskan aspirasi rakyat Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan parti itu akan terus memberi fokus kepada usaha memperjuangkan hak Sabah, memperkukuh ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.
“Perjuangan untuk Sabah akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







