Ketua Dewan Ulama Perlis dilantik penyelaras DUN Guar Sanji, anak Mursyidul Am PAS dilantik SUA MB
KANGAR – Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Ahmad Adnan Fadzil dilantik sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji susulan kekosongan luar jangka di kawasan itu.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, selain itu, Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS kawasan Kangar, Jamil Kamis dilantik sebagai Penyelaras DUN Bintong manakala Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Padang Besar, Abdul Aziz Ahmad pula dilantik sebagai Penyelaras DUN Chuping.
Beliau berkata, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Husna Hashim turut dilantik sebagai Setiausaha Akhbar di pejabat Menteri Besar.
“Dengan sukacitanya, saya ingin umumkan pelantikan Husna sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar. Kedua, untuk Penyelaras DUN Bintong, Jamil Kamis, untuk Penyelaras DUN Chuping saya umumkan Abdul Aziz Ahmad dan ustaz Ahmad Adnan Fadzil pula Penyelaras DUN Guar Sanji,” katanya semasa sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.
Sebelum ini, tiga bekas ADUN PAS iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) digugurkan keahlian selepas didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) menyatakan penolakan sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan turut mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi itu selepas ADUN terlibat terhenti keahlian PAS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





