Istiadat penuh gemilang iringi keberangkatan Agong sempena Sambutan Hari Keputeraan Rasmi 2026
PUTRAJAYA – Keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mencemar duli ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara hari ini berlangsung penuh istiadat dan tertib ketenteraan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bagi tahun 2026.
Istiadat berprestij itu merupakan antara acara utama dalam kalendar rasmi sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan kedaulatan institusi diraja serta ketaatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap Raja dan negara.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda ialah YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Ketibaan Sultan Ibrahim disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda menerima hormat diraja dengan alunan lagu kebangsaan Negaraku bergema di kawasan perbarisan, diikuti tembakan kehormatan sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizah Mat Ghani.

Istiadat diteruskan dengan pemeriksaan perbarisan kehormat yang melibatkan 25 pegawai dan 510 anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, diketuai Leftenan Kolonel Azlan Shah Baharom selaku Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
“Panji-panji yang diarak membawa simbol kemegahan, semangat juang serta ketaatsetiaan tidak berbelah bahagi ATM terhadap institusi diraja.
“Ia turut menjadi lambang hubungan erat antara pasukan tentera dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran di Facebook baginda hari ini.
Dari sudut sejarah, panji-panji berakar daripada penggunaan bendera ketenteraan pada zaman dahulu, sebelum berkembang menjadi simbol rasmi identiti dan kehormatan sesebuah pasukan.
Dalam konteks moden, istiadat itu kekal sebagai upacara berprestij yang memperkukuh tradisi, disiplin dan kesinambungan warisan ketenteraan negara di bawah naungan Seri Paduka Baginda.
Istiadat Mengarak Panji-Panji dilaksanakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan setiap Yang di-Pertuan Agong, iaitu pada tahun pertama, ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








