Berita Semasa

Belanjawan 2024 perlu dilihat dari pelbagai sudut – Ahmad Zahid

GUA MUSANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan supaya Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tidak dipolitikkan kerana ia merupakan pembentangan bajet terbaik setakat ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, belanjawan itu tidak seharusnya dilihat dalam konteks keberkesanan jangka masa panjang sahaja kerana dirangka untuk memenuhi keperluan semasa dan jangka masa pendek.

“Perancangan jangka panjang sudah ada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan ada kajian separuh penggal, malah Kementerian Ekonomi juga sedang menyusun pelbagai perancangan.

“Jangan dilihat belanjawan bagi satu-satu tahun ini sebagai belanjawan dalam konteks keperluan semasa sahaja, tetapi juga harus dilihat untuk jangka pendek dan jangka sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri KElantan 2023 di Taman Etnobotani hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan persekutuan berharap Kelantan yang akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2028 akan memanfaatkan peruntukan RM276 juta untuk membina tujuh fasiliti sukan bagi temasya itu.

Katanya, kerajaan juga mahu peruntukan itu digunakan bagi membantu Kelantan membina kemudahan sukan bersesuaian dengan acara dipertandingkan di Sukma.

“Kerajaan mahu sukan menjadi elemen yang mewujudkan integrasi dalam kalangan rakyat biarpun berbeza warna politik.

“Untuk itu, Kelantan memang mempunyai bakat kesukanan yang tinggi tetapi harus digilap dengan kemudahan serta kejurulatihan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button