Sukan

PSM akui padang SNBJ Jalil tidak digunakan terlalu awal

KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengakui padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) memerlukan tempoh matang yang lebih lama sebelum digunakan untuk perlawanan.

PSM dalam kenyataan berkata, pihaknya hanya mempunyai tempoh masa yang terhad iaitu selama lapan bulan berbanding 12 bulan seperti disyorkan.

Bagaimanapun katanya, keberkesanan pertumbuhan rumput di padang yang menelan belanja jutaan ringgit itu turut dipercepatkan dengan penggunaan growlight.

“Keadaan hujan sepanjang minggu lalu juga tidak membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu.

“Disebalik beberapa tompokan rumput yang tercabut, PSM berpuashati dengan keupayaan sistem perparitan baharu dan kemajuan dalam padang tersebut,” katanya hari ini.

Padang SNBJ pada malam semalam digunakan dalam perlawanan Pestabola Merdeka antara Malaysia dengan India telah memperlihatkan masalah kerosakan rumput akibat pertumbuhan akar yang belum matang.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam hantaran di aplikasi X berkata, padang SNBJ sepatutnya tidak digunakan terlalu awal kerana memerlukan lebih masa untuk akar rumput benar-benar kuat.

Mengulas mengenai rumput padang yang tercabut, PSM berkata pihaknya sedia maklum mengenai beberapa tompokan bertentangan tempat duduk utama (grandstand) yang kurang kukuh akibat pendedahan cahaya matahari yang lebih rendah dikawasan tersebut.

“Namun, perkara ini tidak seharusnya berlaku. PSM telah menggunakan grow light bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu. Ia tetap tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semula jadi.

“Walau bagaimanapun, PSM yakin perkara tersebut akan di atasi dan tompokan tertentu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil bakal pulih sepenuhnya menjelang Kelayakan Piala Dunia,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button