JENAYAH & MAHKAMAH

Etnik Rohingya didakwa pandu berbahaya sebabkan kematian penunggang RXZ

MARANG – Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, bulan lalu.

Tertuduh, Shah Dullah Abul Hashim membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibuat di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah Proton Saga secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Saifullah Isyraf Shamsudin, 27, di Kilometer 12.5, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan berhampiran Kampung Rusila, pada pukul 6 petang, 27 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda sehingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat dua orang penjamin warganegara selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis Marang.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 27 Mei lalu, mangsa berusia 27 tahun yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Kuala Terengganu ke Rusila dipercayai terlibat dalam perlanggaran dengan kereta dipandu tertuduh yang sedang membelok ke kiri.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia pada 2 Jun ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button