BERITA SEMASA

Rakaman kamera terus jadi petunjuk jejak Jaslinda – bomba

IPOH – Rakaman kamera pemantauan di sekitar Gunung Rayu kini menjadi antara fokus utama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam usaha mengesan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan rakaman daripada sebuah kamera yang terletak kira-kira satu kilometer di belakang Gunung Rayu bagi membantu mengenal pasti kemungkinan laluan yang digunakan mangsa.

Menurutnya, semakan terhadap rakaman kamera yang dipasang di Bukit Berapit sebelum ini mendapati Jaslinda tidak melalui kawasan tersebut.

“Kita sedang berusaha mendapatkan satu lagi rakaman kamera yang terletak kira-kira satu kilometer di belakang Gunung Rayu.

“Sekiranya mangsa melalui kawasan itu, rakaman berkenaan mungkin dapat membantu mengesahkan pergerakannya,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kuala Woh.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketiadaan imej mangsa dalam rakaman kamera itu tidak semestinya menunjukkan Jaslinda tidak berada di kawasan berkenaan kerana terdapat kemungkinan beliau menggunakan laluan lain.

Operasi SAR kini ditumpukan di sekitar Gunung Rayu dan Kem Sukaneka dengan seramai 21 anggota masih berada di lapangan.

Menurut Sabarodzi, sebahagian anggota dijadual keluar melalui laluan darat hari ini manakala 10 lagi akan terus bermalam di kawasan pencarian sebelum keluar esok.

Kumpulan yang kekal berada di lokasi terdiri daripada enam anggota bomba bersama empat anggota pasukan malim gunung dan Jabatan Perhutanan.

Dalam perkembangan sama, pasukan SAR turut menemui najis haiwan liar di beberapa lokasi sepanjang operasi pencarian dijalankan, namun usaha mengesan mangsa diteruskan tanpa henti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button