PAS, BERSATU dicadang bergerak asing pada pilihan raya
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan cadangan agar PAS dan BERSATU bergerak secara berasingan dalam pilihan raya, namun tetap mengekalkan hubungan sebagai rakan politik.
Menurut beliau, cadangan itu dibuat susulan kenyataan seorang pemimpin BERSATU di Melaka yang didakwa menyifatkan ‘pekak’ kepada pihak yang mengatakan parti itu tidak mempunyai jentera kuat.
“Secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan.
“Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihanraya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fadhli berkata, bukan satu kesalahan jika sesebuah parti masih lemah dari sudut kekuatan jentera, khususnya bagi parti yang masih dianggap baharu, namun beliau mempersoalkan sikap menafikan kelemahan tersebut.
“Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya.
“Juga tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti dengan usaha pemantapan parti.
“Tetapi jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihanraya asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti.
“Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan,” tegasnya.
Beliau turut mendakwa terdapat keadaan apabila sesebuah parti bertanding lebih banyak kerusi berbanding rakan gabungan, namun gagal mencatat kemenangan yang setimpal kerana berpunca daripada bacaan politik yang tidak tepat.
“Maka jika menyatakan hakikat bahawa BERSATU ketiadaan jentera dikatakan pekak, tiada harapan lagi sebuah kerjasama harmoni selepas ini,” katanya.
Dalam masa sama, Fadhli membangkitkan kebimbangan terhadap beberapa tindakan BERSATU kebelakangan ini.
Ia termasuk melibatkan isu di Perlis dan Negeri Sembilan yang menurutnya boleh menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerjasama politik selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








