BERITA SEMASA

Khaled bangkit isu pembatalan permit eksport NSM dengan Menteri Pertahanan Norway esok

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membangkitkan isu pembatalan permit eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya dari Norway, Tore O. Sandvik, esok.

Mohamed Khaled berkata, beliau akan menyampaikan pendirian Putrajaya berhubung pembatalan itu dalam pertemuan yang berlangsung di sela Dialog Shangri-La anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Singapura.

“Saya akan bertemu mereka esok. Saya akan menyatakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan kita bahawa sebuah negara seperti Norway sanggup melakukan perkara sedemikian,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Khaled akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Norway bagi mendapatkan penjelasan berhubung kemelut melibatkan NSM tersebut.

Malaysia telah mengemukakan notis tuntutan kepada sebuah syarikat pertahanan Norway susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu NSM yang dicadang untuk dipasang pada Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan frigat kelas Lekiu, dengan tuntutan kerugian melebihi RM1 bilion.

Kerajaan menuntut kos secara langsung dan tidak langsung berikutan keputusan unilateral Norway membatalkan lesen eksport sistem pertahanan berkenaan.

Malaysia sebelum ini telah membuat pembayaran sebanyak €126 juta (RM583 juta), bersamaan 95 peratus daripada nilai kontrak, sebelum pembatalan tersebut dibuat.

Khaled turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberi penekanan kepada kerjasama perolehan pertahanan yang berasaskan kepercayaan, pemindahan teknologi dan kerjasama jangka panjang, khususnya dalam menyokong usaha negara ke arah keupayaan berdikari yang lebih kukuh dalam sektor pertahanan.

“Malaysia menilai rakan pertahanannya dengan teliti berdasarkan hubungan yang telah lama terjalin serta syarat yang jelas, yang membezakan antara rakan yang boleh dipercayai dan pembekal yang hanya berorientasikan komersial,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya berkata, Malaysia kini mengutamakan negara yang bersedia melangkaui hubungan pembekal semata-mata dan bertindak sebagai rakan strategik, termasuk menyokong objektif dasar negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button