AGAMA

Solat wanita tidak bertudung tetap sah jika cukup syarat, rukun

KUALA LUMPUR – Solat lima waktu seorang wanita yang biasanya tidak bertudung tetap dikira sah selagi ia ditunaikan dengan memenuhi segala rukun dan syaratnya.

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata, tuntutan menunaikan solat dan menutup aurat merupakan dua perkara yang berbeza dan hukum kedua-duanya adalah wajib.

Ustaz Azhar Idrus

Bagaimanapun katanya, ibadah solat seseorang wanita itu tetap dikira sah meskipun dia seorang yang tidak bertudung sama ada ketika bekerja atau keluar bersiar-siar.

Menurut beliau, solat yang dilakukan tetap diterima Allah SWT sekiranya dilakukan dengan ikhlas dan menepati syarat sah ibadah tersebut.

“Berkenaan dengan solat yang dikerjakan oleh perempuan (yang mendedahkan rambutnya di khalayak ramai), jika sempurna segala rukun dan syaratnya nescaya solat perempuan tersebut itu sah.

“Dan apabila dia solat dalam keadaan ikhlas, nescaya solatnya akan diterima oleh Allah Taala,” katanya dalam satu penjelasan hukum agama di saluran WhatsApp.

Beliau menjelaskan, perbuatan tidak memakai tudung sehingga menampakkan kepala dan rambut ketika keluar rumah merupakan satu dosa besar yang perlu segera ditaubati.

Dalam masa sama, beliau turut memetik pandangan Fatwa Majlis Islam Palestin yang menegaskan bahawa ibadah seseorang tetap sah apabila memenuhi syarat dan rukunnya, namun dosa membuka aurat tetap akan dihisab oleh Allah SWT.

Fatwa tersebut turut mengingatkan amaran Rasulullah SAW di dalam hadisnya terhadap golongan wanita yang ‘berpakaian tetapi telanjang’ dan tidak akan mencium bau syurga.

Menurut penjelasan itu lagi, setiap kali wanita membuka aurat di tempat awam, maka setiap kali itulah dosa dicatatkan, termasuk dosa akibat pandangan lelaki yang melihat aurat tersebut.

“Perempuan yang tidak menutup kepala dengan tudung adalah perempuan yang membuka aurat dan perempuan yang membuka aurat ini adalah berdosa tiap kali dia keluar dari rumah sekalipun dia sembahyang lima waktu,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan wanita Islam supaya segera bertaubat dan kembali memelihara aurat sebagai tuntutan syariat Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button