ADUN BN sahkan terima notis hadir Sidang DUN Johor pada 22 Jun
JOHOR BAHRU – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengesahkan menerima notis bagi menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadualkan berlangsung 22 Jun depan.
Pengesahan tersebut diperoleh daripada beberapa ADUN selepas Mesyuarat BN Negeri Johor yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini, lapor Buletin TV3.
ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan mengesahkan menerima notis berkenaan pagi tadi, namun tidak mengetahui agenda Sidang DUN berkenaan.
“Surat berkenaan memaklumkan ada Sidang DUN, cuma saya tidak tahu jika ia berkaitan mengenai pembubaran atau sebaliknya. Tetapi, kalau hendak bubar DUN tak perlu ada Sidang DUN,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 lalu, pengumuman pembubaran DUN dibuat terus oleh Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Sementara itu, ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri turut mengesahkan sudah menerima notis sama.
Selain beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri yang juga ADUN Paloh, Lee Ting Han juga mengesahkan perkara sama.
Pada 30 April lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.
PRN Johor terus menjadi perhatian selepas tersebarnya maklumat di media sosial berhubung Sidang DUN Khas pada 24 Jun yang didakwa akan berlakunya pembubaran DUN Johor.
Bagaimananapun, pada 22 Mei lalu, Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali memaklumkan perkara berkenaan (Sidang DUN Khas) belum disahkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








