Sultan Pahang titah rakyat kekal bersatu, elak perpecahan sempena Aidiladha
KUANTAN – Umat Islam di negara ini diseru agar terus memperkukuh perpaduan, mengelak perpecahan serta tidak mudah terpengarh dengan perkara yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Perkara itu dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Titah Perutusan Aidiladha 2026 di Facebook, hari ini.
Baginda bertitah, Aidiladha merupakan simbol pengorbanan, keikhlasan dan kekuatan ukhuwah umat Islam yang perlu terus dihayati dalam kehidupan seharian.
“Perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, darjat dan kedudukan membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya hidup bersatu padu, saling menghormati dan memperkukuhkan persaudaraan.
“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar hari ini, saya menyeru agar seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini, terus memelihara perpaduan, mengelakkan perpecahan dan tidak mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh meretakkan keharmonian masyarakat,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini supaya terus bersatu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan mencetuskan keresahan rakyat.
“Aidiladha membawa pengajaran mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah selain menjadi lambang kesatuan umat Islam tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.
“Dalam hal ini jua, Allah SWT mengingatkan kita supaya mengutamakan perpaduan demi kekuatan ummah melalui firman-Nya dalam surat Al-Anfal, ayat 46.
“Saya percaya bahawa kekuatan sesuatu bangsa dan negara bukan hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan semata-mata, tetapi juga kepada kesatuan rakyat, kestabilan masyarakat serta sikap saling menghormati antara kaum dan agama,” titah baginda.
Baginda juga berharap seluruh rakyat di negeri Pahang sentiasa memelihara adab, memperkukuhkan semangat muafakat dan mengutamakan kepentingan bersama demi keamanan serta kesejahteraan negara.
“Pada kesempatan ini juga, saya bersama Tengku Ampuan Pahang mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik, memperoleh haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat. Selamat Hari Raya Aidiladha,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








