Pokok tumbang hempap lima kenderaan akibat hujan lebat di ibu negara
KUALA LUMPUR – Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda ibu negara pada petang Isnin menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan termasuk menghempap lima kenderaan di dua lokasi berasingan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan menerusi talian NG999 kira-kira jam 2.50 petang sebelum anggota digerakkan ke lokasi terjejas.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku di Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE apabila sebatang pokok tumbang dan menghalang laluan jalan.
“Bagaimanapun, tiada kenderaan atau mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian kedua pula melibatkan sebuah Proton Persona yang dihempap pokok ketika diparkir di bahu jalan di Pangsapuri Seri Malaysia, Jalan 3/141, Kampung Malaysia Tambahan.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut,” katanya lagi.
Sementara itu, di Lot PT13856, Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi, sebatang pokok besar tumbang sehingga dahannya menghempap bumbung kawasan parkir kenderaan.
Empat kenderaan dilaporkan terlibat iaitu Perodua Ativa, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Menurut JBPM, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut dimaklumkan bagi membantu kerja pembersihan dahan pokok yang dipotong anggota bomba.
“Kesemua laluan jalan yang terhalang berjaya dibuka sepenuhnya untuk kegunaan pengguna jalan raya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








