Penggunaan peranti dipercayai, biometrik mampu kurangkan risiko akaun diambil alih
KUALA LUMPUR – Institusi kewangan disaran beralih kepada sistem pengesahan tanpa kata laluan yang memanfaatkan penggunaan peranti dipercayai dan pengesahan biometrik bagi mengesahkan identiti pelanggan, sekali gus mengurangkan risiko akaun pengguna diambil alih oleh penjenayah siber.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VIDA, Niki Luhur berkata, penipuan digital kini berkembang menjadi ekosistem jenayah global, dengan sebuah peranti yang dikompromi mampu mencetuskan rantaian serangan, termasuk perisian hasad yang merampas sesi perbankan, pemindahan wang ke akaun keldai sebelum dana dibawa keluar ke luar negara.
Katanya, apabila penjenayah siber semakin menyasarkan peranti pelanggan, kaedah pengesahan konvensional seperti kata laluan dan OTP menjadi semakin terdedah kerana kedua-duanya boleh dipintas atau dicuri selepas peranti berjaya digodam.
“Pengesahan identiti tidak sepatutnya dilihat sebagai proses yang berlaku sekali sahaja.
“Pengesahan berterusan sepanjang sesi diperlukan bagi menghalang serangan lebih canggih seperti rampasan sesi (session hijacking),” katanya ketika berucap pada Persidangan dan Pameran AIBP Malaysia 2026, di sini baru-baru ini.
VIDA merupakan sebuah syarikat identiti digital dan pencegahan penipuan dari Indonesia, baru-baru ini memperkenalkan pelaksanaan teknologi pengesahan tanpa kata laluan (passwordless authentication) sebagai pendekatan baharu bagi memperkukuh keselamatan perbankan digital daripada ancaman penipuan siber yang semakin canggih.
Dalam pembentangannya, Niki turut berkongsi contoh pelaksanaan sebenar di sebuah bank digital terkemuka di Malaysia yang menggunakan pengesahan tanpa kata laluan bagi melindungi keseluruhan perjalanan pelanggan, termasuk proses pembukaan akaun secara digital, log masuk, transaksi berisiko tinggi dan pemulihan akaun.
Beliau berkata, kelayakan penggunaan yang ditambat pada peranti serta pengesahan biometrik bukan sahaja memperkukuh pencegahan penipuan, malah mampu meningkatkan pengalaman pengguna tanpa perlu mengorbankan aspek keselamatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





