BERITA SEMASA

Lelaki nyaris maut jengkaut ditimpa runtuhan batu

POKOK SENA – Seorang pemandu jengkaut nyaris maut apabila jentera dinaikinya ditimpa runtuhan batu di sebuah kuari di Bukit Tembaga, di sini hari ini.

Dalam insiden itu, Ahmad Zaidi Dali, 29, yang tersepit dalam kenderaan tersebut berjaya diselamatkan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Bakar Saad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 2.07 petang tadi.

Susulan itu, katanya, sepasukan tujuh anggota dari BBP Pokok Sena diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Shahrin Musa dihantar ke lokasi ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat runtuhan tanah dan batu kuari menghempap sebuah jengkaut.

“Pemandu jengkaut itu didapati terperangkap dan tersepit di dalam runtuhan itu dan Komander Operasi melaporkan struktur pintu dan rangka kabin mengalami kerosakan serta dipenuhi tanah.

“Anggota di lokasi kejadian menstabilkan jentera dan menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik serta peralatan menyelamat khas bagi membuka ruang akses kepada mangsa,” katanya.

Bakar menambah, operasi dilaksanakan dengan berhati-hati dengan bantuan sebuah lagi jengkaut untuk mengangkat batu bagi memudahkan mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa keluar pada pukul 2.48 petang dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button