JPJ aktifkan semula urusan tukar hak milik dalam talian selepas campur tangan MoT
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaktifkan semula perkhidmatan urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa serta-merta selepas penangguhan sementara diumumkan sebelum ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli susulan kebimbangan orang ramai terhadap penangguhan sistem berkenaan.
Menurut beliau, JPJ memaklumkan terdapat beberapa kes penyalahgunaan dan penipuan melibatkan sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan jabatan itu perlu melaksanakan penambahbaikan segera.
“Bagaimanapun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ.
“JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan dalam talian bagi urusan pertukaran hak milik berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Anthony Loke berkata, sebarang kerja penambahbaikan sistem selepas ini hanya akan dilakukan ketika cuti panjang hujung minggu bagi mengurangkan kesan kepada pengguna.
BACA JUGA:
JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian mulai hari ini
Terdahulu, JPJ mengumumkan penangguhan sementara semua urusan THM secara dalam talian melibatkan portal awam, kiosk serta platform rakan niaga seperti MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Langkah tersebut diambil susulan beberapa aduan rasmi dan laporan media sosial berkaitan pertukaran hak milik kenderaan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
JPJ sebelum ini memaklumkan tindakan kawalan segera itu bertujuan membolehkan semakan serta penambahbaikan dibuat terhadap sistem sedia ada bagi memastikan keselamatan dan integriti rekod pertukaran hak milik kenderaan terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







