BERITA SEMASA

Terengganu terbuka penganjuran program, namun tetap ada garis panduan – Exco

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu kekal terbuka terhadap penganjuran pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat, namun setiap penganjuran perlu mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri mengambil maklum teguran, pandangan serta aduan orang ramai susulan isu tular berkaitan sebuah program yang didakwa tidak mematuhi syarat.

Menurutnya, aduan berkenaan diterima secara terbuka dan dianggap sebagai ruang penambahbaikan dalam memastikan pelaksanaan serta penguatkuasaan lebih berkesan pada masa akan datang.

“Selepas aduan diterima, siasatan telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan dan tindakan kompaun telah dikeluarkan terhadap penganjur atas kesalahan yang dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai langkah pembetulan dan pendidikan supaya kesalahan sama tidak berulang.

Related Articles

“Kerajaan negeri melalui portfolio Pemerkasaan Syariah bersama pihak berkuasa tempatan akan mempertingkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya melibatkan lesen hiburan, perhimpunan awam dan aktiviti berskala besar.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap penganjuran mematuhi syarat bukan sahaja pada peringkat permohonan, tetapi sepanjang program berlangsung,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut akan meneliti penambahbaikan garis panduan sedia ada supaya lebih jelas, mudah difahami dan dipatuhi semua penganjur.

“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan program yang memberi manfaat kepada rakyat, merancakkan ekonomi setempat serta membuka peluang kepada usahawan kecil.

“Namun keterbukaan itu tetap mempunyai garisnya,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, banyak program sebelum itu berjaya dilaksanakan di Terengganu tanpa menimbulkan masalah kerana penganjur mematuhi peraturan dan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

“Ini membuktikan tiada masalah untuk menganjurkan program di negeri ini selagi ia dilaksanakan secara tertib, bertanggungjawab dan mengikut garis panduan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan kerajaan negeri mahu Terengganu kekal sebagai negeri mesra penganjuran program bermanfaat, namun dalam masa sama terus menjaga nilai, ketertiban serta keharmonian masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button