JENAYAH & MAHKAMAH

Kereta dipandu laju hilang kawalan, tiga parah nahas di Lebuh Raya SILK

KAJANG – Tiga individu termasuk pasangan suami isteri warga emas parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 3.5 Lebuh Raya Sistem Lingkaran Kajang (SILK), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asistan Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian pada pukul 9.10 malam itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu laju dari arah Kampung Baru Balakong menuju ke Kajang hilang kawalan ketika menuruni bukit.

Menurut beliau, kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah lagi kereta yang berada di lorong tengah lebuh raya berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pasangan suami isteri warga tempatan berusia 60 dan 61 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan.

“Pemandu kereta lelaki tempatan berusia 35 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang bagi menerima rawatan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button