BERITA SEMASA

Tindakan tular video jenayah boleh beri kesan kepada siasatan

TELUK INTAN – Orang ramai diingatkan supaya lebih bertanggungjawab sebelum memuat naik rakaman video berkaitan kejadian jenayah atau salah laku menerusi media sosial kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan selain memberi implikasi dari sudut perundangan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, terdapat segelintir pihak yang terlalu ghairah mengejar perhatian di media sosial tanpa memahami kesan terhadap siasatan pihak berkuasa, lapor BERNAMA.

“Ada rakaman yang boleh dijadikan bahan membantu siasatan, namun ada juga yang akhirnya menjejaskan siasatan terutama apabila ia dimuat naik tanpa memahami implikasi undang-undang serta kesan terhadap pihak terbabit.

“Kita (polis) juga bimbang video yang dimuat naik itu boleh mengancam keselamatan individu terbabit sekiranya identiti mereka dikenal pasti pihak tertentu, terutama jika melibatkan kegiatan jenayah atau penjenayah berbahaya,” katanya.

Noor Hisam berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Diskusi Dialog Awam Karnival Pencegahan Jenayah Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Dataran Menara Condong, di sini hari ini.

Justeru, Noor Hisam menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan terus maklumat atau rakaman berkaitan salah laku kepada polis bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

Bercakap mengenai program hari ini, beliau berkata, ia dilaksanakan bertujuan mendekatkan polis dan masyarakat, selain menjadi medium perkongsian maklumat berkaitan isu keselamatan serta pencegahan jenayah.

Menurut Noor Hisam, sokongan masyarakat amat penting dalam membantu memelihara moral dan semangat polis, selain menyedari kekangan serta cabaran yang dihadapi anggota keselamatan ketika menjalankan tugas.

“Polis tidak mampu berada di semua tempat pada setiap masa, justeru masyarakat perlu tampil memainkan peranan membantu pihak polis terutama dalam aspek pencegahan dan penyelesaian kes jenayah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button