Pemandu HR-V ditahan selepas rempuh Bezza di persimpangan lampu isyarat
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan melibatkan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, awal pagi tadi.
Kejadian pada pukul 12.27 pagi itu turut tular di media sosial membabitkan sebuah Honda HR-V dan Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asistan Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 10.31 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan pemandu Honda HR-V, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang gagal berhenti ketika lampu isyarat merah.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaannya melanggar sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 20-an.
“Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seorang wanita tempatan berusia 20-an yang merupakan penumpang kereta berkenaan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi membantu siasatan berhubung kes memandu secara melulu.
“Hasil ujian alkohol dan saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif. Permohonan reman akan dijalankan esok di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sivam Muniandy di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














