Bekalan tenaga negara dijamin cukup sehingga Julai
KUALA LUMPUR – Jaminan bekalan tenaga negara kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga Julai depan, meskipun terkesan oleh krisis global akibat konflik Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata demikian ketika ditemui pengamal media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati, hari ini.
“Insya-Allah cukup,” jawabnya ringkas ketika ditanya mengenai inisiatif kerajaan dalam menangani bekalan tenaga yang dijangka hanya mampu bertahan sehingga Julai ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilaporkan berkata Kerajaan sedang berusaha memastikan jangka hayat bekalan tenaga negara mampu bertahan sehingga Disember ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, setakat ini keterjaminan bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai ini dengan pelbagai usaha sedang dilaksanakan, termasuk mendapatkan sumber dari luar negara.
“Kita mahu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak serta gas kita.
“Setakat ini, insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Julai,” katanya memetik Buletin TV3.
Pada 15 April lalu, PETRONAS mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya di negara ini terjamin sehingga akhir Jun 2026, lanjutan daripada unjuran terdahulu iaitu hingga akhir Mei 2026.
Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya akan terus mengurus rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di semua stesen susulan krisis tenaga global semasa yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
PETRONAS membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara menerusi anak syarikat tersenarai awamnya, Petronas Dagangan Berhad, manakala baki bekalan disediakan syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
PETRONAS turut menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai kepada seluruh rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


