Pandangan Tony Pua mengenai kuasa Raja Melayu sempit, jahil sejarah perundangan – pakar perlembagaan
KUALA LUMPUR – Pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menyifatkan pandangan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua berhubung sistem Raja Berperlembagaan di negara ini sebagai sempit serta lahir daripada kejahilan terhadap sejarah perundangan dan konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, tanggapan bahawa kuasa raja hanya terbatas kepada adat Melayu, agama Islam serta fungsi tertentu seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri merupakan satu pandangan popular yang muncul selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
“Pandangan sedemikian menunjukkan kegagalan memahami hakikat bahawa kuasa berdaulat Raja-Raja Melayu masih terpelihara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Tony Pua mesti meluaskan bacaannya bahawa Perkara 38(4) dan 159(5) Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan titah perkenan Raja-Raja Melayu dalam penggubalan sebahagian besar peruntukan Perlembagaan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Wan Ahmad Fauzi berkata, titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan dalam isu berkaitan perlembagaan tidak boleh dilihat secara terbatas hanya melalui Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, beliau menegaskan kewajipan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong serta Sultan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan perlu difahami dalam konteks lebih luas, termasuk amalan titah diraja ketika pembukaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang kemudiannya menjadi panduan kepada ahli legislatif dalam menggubal serta menyemak dasar.

“Kenyataan Tony bahawa rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat adalah biadap, jahil terhadap prinsip undang-undang dan sejarah perundangan tanah air,” tegasnya.
Mengulas isu berkaitan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai industri penternakan babi di Selangor, Wan Ahmad Fauzi berkata, titah tersebut selari dengan tanggungjawab baginda sebagai Ketua Agama Islam dan ketua negeri.
Katanya, langkah itu bertujuan menjaga kerukunan antara penganut agama serta melindungi umat Islam daripada ancaman pencemaran alam sekitar dan kandungan makanan yang mengandungi unsur babi secara tersembunyi.
“Titah Tuanku Sultan untuk menghentikan industri penternakan babi di Selangor dilihat sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman tersebut.
“Dalam masa sama, bukan Islam masih boleh mengimport daging babi untuk memenuhi keperluan makanan mereka di Selangor,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rakyat perlu memahami punca kuasa perlembagaan di Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedaulatan pada Raja-Raja Melayu.
Menurutnya, fungsi legislatif, eksekutif dan kehakiman yang dilaksanakan hari ini sebenarnya merupakan pelaksanaan fungsi kuasa Raja-Raja Melayu dan pihak yang melaksanakan fungsi itu turut terikat dengan kewajipan diraja.
Wan Ahmad Fauzi berkata, salah faham kononnya wujud pemisahan kuasa sepenuhnya antara raja dan kerajaan negeri berpunca daripada kegagalan memahami sistem perlembagaan negara yang menurutnya berasaskan warisan kedaulatan watan Negeri-Negeri Melayu, bukannya sistem Westminster semata-mata.
Beliau menegaskan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan hasil kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing sebelum berkembang menjadi Malaysia, manakala negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak pula menyertai Persekutuan melalui proses sejarah tersendiri.
“Rakyat yang diberikan kerakyatan sebagai rakyat Raja Melayu dan kemudiannya dikenali sebagai warganegara Persekutuan perlu sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan, keluhuran Perlembagaan dan beradab apabila berbicara mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















