Khaled Nordin perjelas asas BN Johor bertanding semua 56 kerusi DUN PRN akan datang
LABIS – Kedudukan politik di Johor yang kekal diterajui Barisan Nasional (BN) dengan majoriti jelas menjadi asas utama keputusan parti itu untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Tanpa mengambil kira kerangka Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu dibuat berdasarkan realiti pentadbiran negeri Johor yang tidak melibatkan konsep Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Persekutuan.
“Itu soal parti Barisan Nasional. Kalau hendak bincang dengan Kerajaan Perpaduan, memanglah mereka tidak akan bersetuju.
“Apatah lagi di Johor ini memang kerajaannya kerajaan Barisan Nasional dengan majoriti yang sangat jelas,” katanya dalam kepada pemberita selepas menghadiri Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) 2026 di FELDA Maokil 1, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti bagi memastikan pembentukan kerajaan negeri yang stabil, kukuh dan mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Onn Hafiz berkata, BN Johor komited meneruskan agenda pembangunan negeri selain memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan pula memenangi 12 kerusi dengan Democratic Action Party memperoleh 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional pula memenangi tiga kerusi, sementara Malaysian United Democratic Alliance memperoleh satu kerusi.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan dan PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun 2027.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















