BERITA SEMASA

Tiada ruang pertimbang pengampunan untuk Jho Low – Anwar

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan beberapa pihak yang didakwa menyalah tafsir kenyataannya berhubung isu pengampunan melibatkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut beliau, kenyataannya bahawa isu berkenaan ‘tidak berbangkit’ bukan bermaksud tiada isu, sebaliknya merujuk kepada pendirian kerajaan yang langsung tidak mempertimbangkan sebarang permohonan pengampunan melibatkan individu terbabit.

“Pertamanya soal yang dibangkitkan semalam menimbulkan kekeliruan. Bila saya kata isu Jho Low tidak berbangkit, bukan maknanya tiada isu.

“Saya maksudkan kerajaan langsung tidak mempertimbangkan jika dia memohon pengampunan. Dia terlibat dalam kecurangan dan jenayah yang menyebabkan negara rugi berbilion ringgit,” katanya selepas Majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Dewan Kompleks Pendidikan Negeri Perak, Meru, hari ini.

Anwar berkata, sebelum ini terdapat laporan media yang memberi gambaran berbeza sehingga menimbulkan salah faham terhadap pendirian kerajaan mengenai perkara itu.

“Tetapi bila saya sebut tidak diberi pertimbangan, ada sesetengah media melaporkannya secara lain.

“Bagi saya, tidak berbangkit bermaksud perkara itu tidak menjadi isu untuk kita beri tumpuan dan pertimbangan,” tegas beliau.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan tidak akan memberi fokus terhadap sebarang usaha mendapatkan pengampunan bagi kesalahan yang melibatkan kerugian besar kepada negara.

Selasa lalu, The Wall Street Journal melaporkan Jho Low dikatakan sedang mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut laporan akhbar kewangan antarabangsa itu, permohonan tersebut difailkan beberapa minggu lalu berdasarkan sumber yang mengetahui perkara berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button