Saintis temui spesies dinosaur terbesar Asia Tenggara di Thailand
BANGKOK – Sekumpulan saintis dari Thailand dan United Kingdom berjaya mengenal pasti spesies baharu dinosaur gergasi berleher panjang yang dipercayai menjadi dinosaur terbesar pernah ditemui di Asia Tenggara.
Dinosaur bernama Nagatitan chaiyaphumensis itu dianggarkan seberat antara 27.5 hingga 30.8 tan, bersamaan sembilan ekor gajah Asia dewasa dengan ukuran panjang mencecah sekitar 27 meter.
Penemuan spesies baharu itu diumumkan dalam jurnal Scientific Reports semalam hasil penyelidikan bersama saintis Thailand dan United Kingdom.
Menurut laporan The Washington Times, dinosaur berkenaan diklasifikasikan sebagai sauropod iaitu kumpulan dinosaur herbivor berleher panjang yang turut merangkumi spesies seperti Brontosaurus.
Penulis kajian menyifatkan Nagatitan chaiyaphumensis sebagai dinosaur terbesar daripada subjenis titanosauriform yang pernah ditemukan di rantau Asia Tenggara.
Penyelidik, Sita Manitkoon berkata kepada National Geographic bahawa fosil dinosaur itu dipercayai milik dinosaur terbesar pernah ditemui di rantau ini setakat ini.
Menurut penyelidik, fosil berkenaan ditemui dalam formasi batuan berusia 113 juta tahun di timur laut Thailand.
Bagaimanapun, penemuan awal fosil itu sebenarnya dibuat oleh seorang penduduk tempatan pada 2016 selepas beliau menemui batu-batu pelik di tebing sebuah kolam.
Seorang lagi penyelidik, Thitiwoot Sethapanicsakul berpendapat, penemuan itu mungkin yang terakhir seumpamanya di rantau berkenaan kerana fosil terbabit ditemukan dalam formasi batuan dinosaur paling muda di Thailand.
“Batuan yang lebih muda dari penghujung era dinosaur berkemungkinan tidak lagi mengandungi tinggalan dinosaur kerana kawasan itu ketika berkenaan telah berubah menjadi laut cetek.
“Jadi, ini mungkin sauropod besar terakhir atau paling terkini yang akan ditemui di Asia Tenggara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








