JENAYAH & MAHKAMAH

Penceramah bebas didakwa bunuh warga emas di restoran makanan segera

SELAYANG – Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas di sebuah restoran makanan segera di Desa Jaya, Kepong awal bulan ini.

Tertuduh, Toh Kai Lun, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azlin Othman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Lim Kim Thong, 76, di Desa Jaya, Kepong dalam daerah Gombak antara jam 5.20 petang hingga 5.40 petang pada 5 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad.

Kamarul Iman memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jaminan lebih rendah atas alasan keluarga tertuduh hanya mampu menyediakan RM5,000.

“Saya difahamkan oleh kakaknya, mereka hanya mampu menyediakan RM5,000 untuk jaminan orang kena tuduh,” memetik Buletin TV3 online.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran kediamannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button