Pelakon saman James Cameron, Disney dakwa wajah dijadikan asas watak Neytiri
LOS ANGELES – Pelakon Q’orianka Kilcher memfailkan saman terhadap James Cameron dan The Walt Disney Company dengan mendakwa wajahnya digunakan tanpa kebenaran sebagai asas visual watak Neytiri dalam francais filem Avatar.
Saman yang difailkan di California baru-baru ini, mendakwa Cameron menggunakan gambar Kilcher yang pernah diterbitkan dalam akhbar Los Angeles Times ketika membangunkan reka bentuk watak Neytiri yang kemudian dilakonkan oleh Zoe Saldana menerusi teknologi tangkapan persembahan (performance capture).
Menurut dokumen mahkamah, Kilcher mendakwa penggunaan ciri wajahnya bukan sekadar inspirasi seni, sebaliknya membabitkan eksploitasi identiti biometrik dan rupa fizikal tanpa persetujuan.
Pelakon berusia 35 tahun itu terkenal menerusi watak Pocahontas dalam filem The New World arahan Terrence Malick ketika beliau masih remaja.
Saman itu mendakwa, Cameron mula mengenali Kilcher sejak tempoh berkenaan sebelum menggunakan elemen wajahnya dalam proses pembangunan watak Neytiri bagi filem Avatar pertama.
Kilcher dikatakan hanya menyedari kaitan itu beberapa tahun kemudian selepas klip wawancara lama Cameron kembali tular di internet.
Dalam klip terbabit, Cameron dilaporkan menyebut nama Kilcher ketika menjelaskan pembangunan visual watak Neytiri.
Menurut saman itu, Cameron turut menjemput Kilcher ke pejabatnya selepas kejayaan Avatar pada 2009.
Ketika lawatan berkenaan, Kilcher mendakwa beliau diperlihatkan karya konsep Neytiri yang mengandungi nota tulisan tangan dipercayai milik pengarah terbabit.
Pasukan guaman Kilcher berhujah bahawa Cameron dan Disney menggunakan struktur wajah pelakon itu untuk membina karakter digital yang kemudiannya menjana keuntungan berbilion dolar menerusi filem, taman tema, permainan video dan barangan dagangan berkaitan francais Avatar.
Bagaimanapun, Kilcher mendakwa beliau tidak pernah menerima kredit mahupun pampasan walaupun rupa fizikalnya didakwa menjadi asas kepada watak utama kaum Na’vi itu.
Dalam kenyataannya kepada The New York Times, Kilcher berkata kes itu mencerminkan kebimbangan semakin meningkat mengenai penggunaan teknologi untuk meniru identiti manusia tanpa perlindungan sewajarnya, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan replikasi digital.
“Dalam era AI, rupa dan identiti kita tidak lagi selamat. Apa yang berlaku kepada saya bersifat peribadi, tetapi ia juga satu amaran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















