Laporan WSJ dakwa UAE lancar serangan rahsia ke atas Iran
WASHINGTON – Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa melancarkan beberapa serangan ketenteraan rahsia terhadap Iran termasuk menyerang sebuah loji penapis minyak di Pulau Lavan, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik sumber dalaman.
Laporan itu mendedahkan serangan berkenaan berlaku sekitar awal April lalu ketika gencatan senjata diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump susulan kempen serangan udara selama lima minggu di Asia Barat.
Menurut WSJ, serangan terhadap kemudahan minyak di Pulau Lavan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh Abu Dhabi sebelum ini.
Agensi berita antarabangsa yang turut melaporkan perkembangan tersebut berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan berhubung penglibatan UAE dalam serangan ke atas Iran.
Menurut laporan WSJ lagi, Washington secara senyap dikatakan mengalu-alukan penyertaan UAE dan negara Teluk lain dalam konflik berkenaan.
Media Iran sebelum ini melaporkan kemudahan penapisan minyak di Pulau Lavan dibedil pada 8 April lalu sebelum beberapa negara Teluk termasuk UAE dan Kuwait menjadi sasaran serangan balas peluru berpandu serta dron Iran.
Penyiar rasmi Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) mendakwa, serangan ke atas UAE dan Kuwait berlaku beberapa jam selepas loji penapis minyak di Pulau Lavan diserang.
Pada hari sama, UAE dilaporkan menjadi sasaran 17 peluru berpandu dan 35 dron Iran hanya beberapa jam selepas gencatan senjata diumumkan.
Sementara itu, laporan berita juga menyebut, ketegangan antara Iran dan UAE terus memuncak susulan dakwaan Tehran bahawa kerjasama pertahanan Abu Dhabi dengan AS mengancam keselamatan Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump dilaporkan mengakui gencatan senjata antara AS dan Iran kini berada dalam keadaan ‘sangat rapuh’ selepas rundingan damai antara kedua-dua pihak semakin menemui jalan buntu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















