BERITA SEMASADALAM NEGERI

KWSP perkenal i-Legasi, i-Emas perkukuh jaminan persaraan ahli

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan tiga inisiatif baharu iaitu i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan bagi membantu ahli merancang persaraan dengan lebih mampan serta menjamin kedudukan kewangan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perancangan persaraan pada masa kini tidak lagi hanya tertumpu kepada pengumpulan simpanan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira aspek kecukupan dan kelestarian kewangan sepanjang hayat.

Menurut beliau, KWSP komited memperluaskan sokongan kepada ahli supaya mereka bukan sahaja terus menyimpan, malah mampu membuat keputusan kewangan yang lebih baik demi memastikan simpanan persaraan kekal mencukupi selain dapat diwariskan kepada insan tersayang.

“Melalui kemudahan i-Legasi, ahli dibenarkan memindahkan sebahagian simpanan KWSP kepada akaun ahli keluarga terdekat selepas mencapai umur pengeluaran penuh.

“Bagaimanapun, jumlah yang boleh dipindahkan tertakluk kepada Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), dengan hanya baki simpanan yang melebihi tahap simpanan mencukupi dibenarkan untuk tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, kaedah bayaran bulanan menerusi pengeluaran umur 55 dan 60 tahun kini dijenamakan semula sebagai i-Emas bagi menggalakkan pengurusan simpanan persaraan secara lebih sistematik dan berterusan.

“Menerusi kemudahan itu, ahli boleh memilih bayaran bulanan automatik berbanding membuat pengeluaran penuh sekali gus membolehkan baki simpanan terus menerima dividen tahunan.

“Setakat ini, lebih 21,000 ahli dilaporkan telah memilih kaedah pengeluaran bulanan berkenaan, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pendapatan persaraan yang lebih stabil dan terancang,” katanya.

Menurut Ahmad Zulqarnain, i-Emas turut membantu melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan, pengurangan simpanan secara mendadak serta memastikan aliran pendapatan yang konsisten sepanjang tempoh persaraan.

Sementara itu, KWSP turut melancarkan Kalkulator Matlamat Persaraan menerusi aplikasi i-Akaun bagi membolehkan ahli menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan gaya hidup serta unjuran perbelanjaan masing-masing.

Kemudahan tersebut juga membantu ahli mengenal pasti jurang simpanan dan tahap kesediaan kewangan mereka sebelum memasuki alam persaraan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button