BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Caruman sukarela KWSP meningkat lebih 47 peratus kepada RM15.3 bilion

KUALA LUMPUR — Caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 47.5 peratus kepada RM15.30 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, berbanding RM10.37 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut KWSP, peningkatan itu disokong pertambahan ahli formal yang memilih untuk mencarum lebih daripada kadar berkanun melalui i-Topup, melibatkan 231,034 pencarum, berbanding 172,829 dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan, KWSP menjangkakan pasaran tenaga buruh negara kekal kukuh pada suku terakhir 2025, dipacu langkah dalam Belanjawan 2026, kestabilan makroekonomi serta kemasukan pelaburan langsung domestik dan asing.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran pada September 2025 menurun 0.2 mata peratus kepada 3.0 peratus, sekali gus menyokong pertumbuhan keahlian baharu KWSP.

“Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, KWSP merekodkan 427,329 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan ahli melebihi 16.5 juta, dengan 9.07 juta daripadanya merupakan ahli aktif, iaitu bersamaan 51.7 peratus daripada 17.54 juta tenaga buruh negara,” katanya.

Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pula kekal stabil pada 55:45.
Bagi pendaftaran majikan, sebanyak 62,401 majikan baharu direkodkan, menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar meningkat kepada 628,321 setakat September 2025.

Dari segi prestasi suku tahunan, jumlah caruman keseluruhan meningkat 10.5 peratus kepada RM27.84 bilion, berbanding RM25.20 bilion pada suku ketiga 2024.

Dalam perkembangan berkaitkan, KWSP turut memaklumkan bahawa pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia bermula dengan gaji Oktober 2025 sedang melalui proses peralihan, dengan usaha memperkukuh pematuhan serta libat urus bersama pihak berkepentingan.

“KWSP komited memastikan proses peralihan ini berjalan lancar melalui penyediaan panduan dan sokongan berterusan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button