JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki disyaki punca nahas tiga kenderaan di NKVE ditahan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Jalan Duta, di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 11 malam itu tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan sebuah kereta berada dalam keadaan melintang di lorong kanan lebuh raya sebelum dirempuh kenderaan lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Inspira, Proton Wira dan Toyota Hilux.

Menurut beliau, Proton Inspira dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai terbabas sebelum berhenti di lorong kanan lebuh raya.

“Selepas itu, sebuah Proton Wira dipandu lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun melanggar kenderaan terbabit sebelum sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun turut merempuh Proton Inspira tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, Proton Inspira dan Toyota Hilux terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, Toyota Hilux mengalami kerosakan pada bahagian bumper belakang, sensor undur, bonet hadapan, bumper hadapan dan tangki air.

“Proton Wira pula rosak pada bahagian bumper, bonet, lampu hadapan kiri dan kanan serta fender, manakala kerosakan Proton Inspira masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, polis telah menahan pemandu Proton Inspira bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, antara tindakan yang telah diambil termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan saksi, menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mengambil gambar kenderaan terlibat.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan sebuah kenderaan dipercayai terbabit kemalangan terlebih dahulu sehingga melintang di lorong kanan lebuh raya sebelum dirempuh kenderaan lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button