JENAYAH & MAHKAMAH

PHRS buat laporan polis dakwa fitnah kaitkan tangkapan polis dengan pimpinan parti

TAWAU – Dua laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah dengan mengaitkan beberapa tangkapan polis bersama pucuk pimpinan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Laporan itu dibuat Ketua Wanita PHRS, Norazian Dumit dan Ahli Majlis Tertinggi PHRS, Jany Sahak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Norazian mendakwa hantaran berkenaan bersifat fitnah, berniat jahat dan tidak berasas selain boleh menjejaskan imej kepimpinan parti.

Menurutnya, beliau menyedari kewujudan hantaran itu ketika melayari Facebook dan mendapati ia memaparkan gambar pucuk pimpinan parti bersama imej tangkapan polis serta prosiding mahkamah.

“Tindakan menggabungkan imej pemimpin parti dengan gambar berkaitan kes jenayah adalah satu bentuk dakwaan tidak berasas yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” memetik Buletin TV3 online.

Sementara itu, Jany menyifatkan penyebaran hantaran terbabit sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi mengundang salah faham terhadap individu dalam parti serta gabungan politik di Sabah.

“PHRS sebelum ini mengambil pendekatan tidak melayan dakwaan negatif di media sosial, namun kali ini pihaknya berpendapat isu tersebut sudah melampaui batas sehingga memerlukan tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung kandungan berkenaan yang didakwa menyentuh isu sensitif termasuk 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja selain membabitkan imej Istana Negeri Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button