BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dara, Amoi dan Kelat dijaga baik di Jepun, kekal di Zoo Tennoji hingga 25 tahun

TAIPING – Tiga gajah dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji dijangka terus berada di Jepun sehingga 25 tahun menerusi perjanjian kerjasama antarabangsa yang dimeterai sejak 2022.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, penempatan ketiga-tiga gajah itu merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Zoo Tennoji dan Zoo Taiping & Night Safari.

Menurut beliau, program pertukaran dan penempatan haiwan seperti itu bukan sesuatu yang baharu kerana telah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan dan pengurusan spesies.

“Perjanjian ini melibatkan tempoh selama 25 tahun dan ia adalah amalan biasa dalam kerjasama antara zoo antarabangsa,” katanya memetik laporan Kosmo!

Beliau berkata, Dara, Amoi dan Kelat kini berada dalam keadaan baik serta dipantau secara berkala oleh pasukan veterinar dan mahut berpengalaman di zoo berkenaan.

Katanya, pemantauan itu melibatkan aspek kesihatan, pemakanan, tingkah laku serta habitat bagi memastikan kebajikan haiwan sentiasa berada pada tahap optimum.

“Berdasarkan laporan terkini daripada pihak pengurusan Zoo Tennoji, ketiga-tiga gajah tersebut berada dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kemudahan yang disediakan di zoo berkenaan memenuhi piawaian antarabangsa termasuk ruang habitat yang sesuai, penjagaan harian sistematik dan program pengayaan untuk merangsang tingkah laku semula jadi haiwan.

Malah, ketiga-tiga gajah itu turut menunjukkan peningkatan berat badan sejak ditempatkan di Jepun.

Kelat mencatat pertambahan paling tinggi iaitu sebanyak 440 kilogram apabila berat badannya meningkat daripada 2,360kg kepada 2,800kg.

Dara pula bertambah 215kg daripada 1,985kg kepada 2,200kg, manakala Amoi meningkat 200kg daripada 1,280kg kepada 1,480kg.

Menurut Mohamed Akmal, perkembangan tersebut mencerminkan tahap penjagaan, kesihatan dan pemakanan yang baik sepanjang berada di Zoo Tennoji.

Beliau berkata, pihak MPT juga akan terus berkongsi laporan berkala mengenai keadaan Dara, Amoi dan Kelat kepada orang ramai berdasarkan maklumat rasmi yang diterima daripada pihak zoo di Jepun.

“Langkah ini penting bagi memastikan ketelusan selain memberi keyakinan bahawa kebajikan ketiga-tiga gajah ini sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button