RoS arah MTUC dibubar sementara
PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengarahkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dibubar sementara selepas didakwa gagal mematuhi arahan mengemukakan dokumen penting.
Perintah itu terkandung dalam satu notis bertarikh hari ini, lapor NST.
Menurut notis itu, RoS memaklumkan MTUC gagal menyerahkan dua salinan rekod kewangan yang diaudit serta penyata kira-kira antara 2020 hingga 2025.
MTUC turut didakwa gagal mengemukakan dua salinan laporan terperinci yang mengisytiharkan sebarang dana atau aset asing yang diterima antara 2020 hingga 2025, termasuk wang, harta atau manfaat yang diberikan oleh individu yang menetap di luar negara, organisasi asing atau kerajaan asing serta agensinya.
“Sehubungan itu, pendaftaran pertubuhan ini dengan ini diperintahkan dibubarkan sementara berkuat kuasa dari tarikh perintah ini,” kata notis berkenaan.
Pembubaran sementara itu susulan arahan yang dikeluarkan pada 6 April lalu yang menghendaki MTUC menyerahkan pelbagai maklumat dalam tempoh 30 hari, termasuk rekod keahlian dari 2020 hingga 2025, minit mesyuarat dan butiran hubungan luar.
Arahan itu turut menghendaki MTUC mengemukakan rekod penuh pemegang jawatan, selain minit Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan dan Persidangan Perwakilan Khas.
Perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 yang memberi kuasa kepada RoS mengambil tindakan terhadap pertubuhan yang gagal mengemukakan maklumat, penyata atau dokumen yang diperlukan.
MTUC merupakan badan induk terbesar negara yang mewakili kesatuan sekerja dan kepentingan pekerja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







