Aktivis GSF Malaysia diberi pilihan getir, pulang atau teruskan misi ke Gaza
KUALA LUMPUR – Sepuluh aktivis Malaysia yang baru dibebaskan daripada tahanan tentera Israel kini berdepan keputusan sukar sama ada pulang ke tanah air atau meneruskan pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza, selepas melalui detik mencemaskan apabila kapal mereka dipintas baru-baru ini.
Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kesemua aktivis terbabit diberi tempoh sehingga hari ini untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF) atau sebaliknya.
Menurutnya, terdapat dalam kalangan aktivis Malaysia yang mengalami kecederaan akibat dipukul ketika berada dalam tahanan tentera Israel, namun keadaan mereka kini stabil selepas menerima rawatan.
“Alhamdulillah mereka sudah dirawat dan berada dalam keadaan yang membolehkan mereka meneruskan misi, namun keputusan diserahkan sepenuhnya kepada mereka.
“Mereka baru sahaja melalui pengalaman sukar termasuk kapal dipintas dan ditahan, jadi kita beri ruang untuk mereka menilai keadaan masing-masing,” katanya memetik laporan BH Online.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan pembebasan 175 aktivis kemanusiaan termasuk 10 rakyat Malaysia selepas kapal mereka dipintas tentera Israel.
Sukarelawan GSF 2.0, 10 rakyat Malaysia selamat tiba di Turkiye selepas ditahan rejim Zionis
SNCC turut memaklumkan kerajaan Turkiye menyediakan pesawat khas berkapasiti 160 penumpang bagi membawa pulang aktivis yang ingin kembali ke negara masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Nadir berkata, sekiranya aktivis Malaysia memilih untuk meneruskan misi, mereka dijangka menyertai konvoi antarabangsa yang akan belayar dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, katanya, pelayaran tertakluk kepada keadaan cuaca yang ketika ini kurang mengizinkan berikutan ribut, dengan jangkaan pergerakan mungkin bermula Isnin atau Selasa.
“Misi kali ini membabitkan kira-kira 15 kapal yang akan bergerak dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye bersama aktivis dari pelbagai negara,” katanya.
Sementara itu, video yang dimuat naik Nadir semalam memaparkan ketibaan delegasi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul yang disambut meriah oleh orang ramai dengan sorakan dan kata-kata semangat.
Antara yang kelihatan termasuk pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad; doktor perubatan, Dr Jihan Alya Mohd Nordin serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang dilihat masih bersemangat dan berhasrat meneruskan misi kemanusiaan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








