Grafik hina Sultan Selangor: Polis terima 280 laporan
KUALA LUMPUR : Sebanyak 280 laporan diterima polis berhubung penularan grafik di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah laporan itu adalah setakat pukul 5 petang semalam yang menggambar rasa marah dan tidak puas hati orang ramai terhadap provokasi melampau berkenaan.
“Siasatan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Fokus utama siasatan yang sedang giat dijalankan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah untuk mengesan serta menangkap pelaku yang bertanggungjawab mencemar kedaulatan institusi diraja.
“Orang ramai dinasihat menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan kes.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklum berdasarkan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata pihaknya percaya tindakan menyunting dan menyebarkan imej menjengkelkan serta mengaibkan Sultan Selangor dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di negeri ini.
Katanya, ia berikutan hantaran dibuat menerusi laman sosial Facebook itu jelas tidak menghormati kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor kerana mengaitkan baginda dengan objek dan visual yang jelas haram mengikut perspektif hukum syarak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








