BERITA SEMASA

Karnival 60 Tahun MARA perkukuh agenda Bumiputera

KUALA LUMPUR – Penganjuran Karnival 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) dilihat mampu memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera menerusi pendekatan Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P).

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, karnival yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 1 hingga 5 Mei ini merupakan platform komprehensif yang menghimpunkan pelbagai inisiatif agensi tersebut.

Menurutnya, program berkenaan mempamerkan keseluruhan fungsi dan tanggungjawab MARA dalam usaha meningkatkan sosioekonomi Bumiputera.

“Karnival ini bersifat komprehensif dan signifikan dengan fungsi serta amanah yang digalas MARA untuk memperkasakan sosioekonomi Bumiputera dan negara.

“Semua peranan itu dipamerkan kepada masyarakat agar lebih memahami peluang yang disediakan,” memetik Awani online.

Mengulas lanjut, beliau melahirkan rasa bangga terhadap sambutan memberangsangkan pengunjung pada hari pertama penganjuran, yang mencerminkan sokongan masyarakat terhadap agenda pembangunan Bumiputera.

Karnival itu menampilkan pelbagai reruai melibatkan sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat secara terus berkaitan program ditawarkan MARA.

Menurutnya, pengunjung bukan sahaja berpeluang meneroka laluan pendidikan, malah dapat mengenal pasti potensi keusahawanan serta jaringan industri yang tersedia.

“Penganjuran ini menjadi medan interaksi antara institusi pendidikan, usahawan dan pemain industri, sekali gus memacu pembangunan Bumiputera secara bersepadu,” katanya lagi.

Selain itu, suasana karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai gerai makanan tempatan, menjadikannya destinasi sesuai untuk kunjungan seisi keluarga.

Kemuncak sambutan pada 5 Mei ini bakal menampilkan persembahan artis tempatan sebagai penutup kepada ulang tahun ke-60 penubuhan MARA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button