Piala Dunia: Azizulhasni raih emas acara keirin, tewaskan juara Olimpik di hadapan penyokong sendiri
NILAI – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan usia bukan penghalang apabila mencipta sensasi dengan meraih pingat emas acara keirin pada aksi final di Piala Dunia Trek dekat Velodrom Nasional, hari ini.
Lebih manis ia adalah kemenangan keduanya dalam Piala Dunia Trek tahun ini selepas muncul juara keirin pada siri pertama di Perth, Australia, Mac lalu.
Pada aksi akhir sebentar tadi, pelumba berusia 38 tahun itu bermula di kedudukan kelima dan pada awalnya dilihat ketinggalan selain dikepung pelumba lain termasuk juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Namun, di pusingan akhir Azizulhasni melakukan henjutan luar biasa ketika untuk keluar daripada kepungan sebelum memecut melepasi garisan penamat selaku pemenang.
Lavreysen terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Trinidad & Tobago, Nicholas Paul.
Azizulhasni yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan turun beraksi dalam acara pecut, esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















