Sindiket ‘love scam’ tumpas, 58 individu ditahan
TANAH MERAH – Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian berkonsepkan ‘love scam’ selepas menyerbu sebuah resort yang dijadikan pusat operasi di sini, petang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai sudah beroperasi selama sebulan dengan menyasarkan lelaki warga Singapura sebagai mangsa.
“Mereka menyamar sebagai wanita bagi memperdaya mangsa melalui emosi dan kepercayaan sebelum menjerat mereka untuk tujuan keuntungan kewangan,” katanya pada sidang media di IPD Tanah Merah hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati premis berkenaan dijadikan pusat ‘call centre’ dengan dewan dan beberapa bilik digunakan sebagai lokasi operasi serta penginapan ahli sindiket.
“Operasi dikendalikan tiga penyelia bersama 55 operator yang bekerja dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
“Mereka turut menggunakan sekurang-kurangnya enam router bagi memastikan capaian internet stabil dan mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya lagi.
Dalam serbuan itu, polis menahan 58 individu berusia antara 20 hingga 30-an terdiri daripada 53 lelaki dan lima wanita.
Daripada jumlah itu, 49 lelaki adalah warga China, manakala selebihnya melibatkan warga tempatan serta Myanmar, India dan Pakistan.
“Bagi wanita pula, ia membabitkan warga tempatan, Myanmar dan China.
“Daripada 56 warga asing yang ditahan, seramai 33 memiliki dokumen perjalanan sah manakala selebihnya tidak lengkap,” katanya lagi.
Mohd Yusoff berkata, polis turut merampas 46 komputer, lima komputer riba, 118 telefon bimbit serta lapan router dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM179,000.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan semua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dan akan terus mempergiat operasi bagi mengekang kegiatan ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








