MARA tawar sesi ‘Peace of Mind’ bantu peminjam, usahawan
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan sesi kaunseling khas dikenali ‘Peace of Mind’ bagi membantu peminjam serta usahawan yang berdepan tekanan kewangan sempena Kemuncak Sambutan Karnival 60 Tahun agensi itu, bulan depan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sesi yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam itu memberi peluang kepada peserta berbincang mengenai penstrukturan semula bayaran serta penyelesaian kewangan yang bersesuaian.
Menurutnya, kemuncak sambutan karnival itu akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei di Pusat Dagangan Kuala Lumpur.
“Sepanjang karnival, lebih 100 program menarik disediakan merangkumi pelbagai segmen termasuk pendidikan dan keusahawanan, dengan sasaran kira-kira 100,000 pengunjung,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata, karnival itu turut memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan maklumat lanjut mengenai laluan pendidikan, selain membuka ruang kepada pelajar pelbagai latar belakang meneroka peluang ditawarkan MARA.
Selain itu, institusi pengajian tinggi awam dan swasta dijemput menyertai pameran bagi menawarkan program pengajian masing-masing kepada pelajar.
“Dalam masa sama, karnival keusahawanan akan mengetengahkan produk dan perkhidmatan usahawan MARA bagi memperkukuh ekosistem perniagaan bumiputera.
“Karnival makanan turut diadakan dengan penglibatan pempengaruh industri kulinari,” katanya.
Tambahnya, program itu diharap dapat mendekatkan masyarakat dengan ekosistem MARA serta membuka lebih banyak peluang pendidikan, keusahawanan dan pembangunan diri kepada generasi muda.
Kemuncak sambutan itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








