KP JUPEM mengaku tidak bersalah guna kedudukan bagi suapan lebih RM136,000
KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Datuk Hazri Hassan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM136,000.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Suzana Hussin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) untuk mendapatkan suapan dana LJT berjumlah RM30,201.16.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga di Wisma LJT, Pusat Bandar Melawati, pada 3 Ogos 2024.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menggunakan kedudukan sama untuk memperoleh suapan dana LJT sebanyak RM105,914 dengan mengambil bahagian dalam mesyuarat lembaga di sebuah hotel di ibu negara pada 31 Disember 2024.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa berkaitan penyertaan tertuduh dalam dua mesyuarat berasingan di New York dan Arab Saudi antara 24 Ogos 2024 hingga 4 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















