Istana Pahang nafi tawar bantuan di TikTok
KUANTAN – Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang tawaran bantuan menggunakan nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti yang tular di platform TikTok.
Menurut kenyataan Istana Pahang, pihaknya mengesan kewujudan akaun palsu menggunakan nama Tengku Tengku (@tengku.tengku93) yang meminta pengguna menghantar mesej berserta nombor telefon bagi mendapatkan tawaran hadiah yang sebenarnya tidak wujud.
“Kebawah Duli Paduka Baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, namun terdapat banyak akaun palsu diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar Baginda untuk memperdaya orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, situasi sama turut melibatkan akaun palsu di Facebook dan TikTok yang menggunakan nama serta gambar Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sehubungan itu, Istana Pahang menegaskan semua akaun berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang dikongsikan.
Orang ramai juga diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang pelawaan atau kandungan mencurigakan melalui media sosial.
Tambah kenyataan itu, semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial rasmi Kesultanan Pahang.
“Di Facebook, hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan kira-kira 773,000 pengikut, manakala di platform lain seperti Instagram, TikTok dan YouTube menggunakan nama Kesultanan Pahang, selain portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








