Lebih 20 kapal lintasi Selat Hormuz, trafik tertinggi sejak konflik
TEHRAN – Lebih 20 kapal dagang dilaporkan meredah Selat Hormuz pada 18 April lalu, sekali gus mencatatkan trafik tertinggi sejak konflik serantau bermula awal Mac.
Menurut firma analitik tenaga, Kpler, peningkatan mendadak itu mencerminkan kepentingan berterusan laluan strategik berkenaan walaupun berdepan ketegangan geopolitik melibatkan Iran.
Daripada jumlah tersebut, lima kapal milik Iran dikenal pasti membawa muatan logam serta pelbagai produk petroleum, termasuk tiga kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG), dengan dua daripadanya dalam perjalanan ke China dan India.
Selain itu, beberapa kapal lain turut membawa produk tenaga dari negara Teluk seperti Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab kekal sebagai antara laluan perkapalan paling penting dunia, dengan sebahagian besar eksport minyak global melalui kawasan sempit itu. Namun, peningkatan trafik ketika konflik masih berlangsung menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan dan kestabilan bekalan tenaga global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








