Sultan Selangor kecewa pengurusan banjir tidak selesai masalah rakyat
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan terhadap kegagalan pihak berkenaan dalam menangani masalah banjir yang terus membelenggu rakyat negeri ini.
Baginda bertitah, isu berkenaan telah berulang kali dibangkitkan namun masih belum menunjukkan penyelesaian berkesan, termasuk pelaksanaan langkah jangka pendek dan panjang.
Menurut baginda, kerajaan negeri sebelum ini pernah disarankan supaya mendapatkan pandangan pakar luar, khususnya dari Netherlands yang berpengalaman dalam pengurusan banjir, namun nasihat tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Malangnya, nasihat Beta tidak dipeduli dan diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi.
“Setiap tahun diperuntukkan bajet bagi mengatasi banjir, tetapi hasilnya masih belum dapat dilihat sehingga kini,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Baginda turut menegaskan bahawa kejadian banjir masih berulang di beberapa kawasan, khususnya di penempatan penduduk di pelbagai daerah, sekali gus menjejaskan kehidupan rakyat.
Dalam masa sama, baginda mahu usaha pembersihan Sungai Klang dipergiat bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi seiring pertambahan populasi negeri.
“Beta tidak akan jemu bertitah sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih ini diselesaikan secara tuntas,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








